Jangan biarkan novel anda dibunuh........ oleh diri sendiri.

“Novel tanpa sinopsis seperti pengembara hilang kompas. Dia tidak tahu ke mana kakinya melangkah. Adakah ke syurga ataupun tersungkur di pintu syurga.”
#HajiDell

“Apa yang perlu ada dalam sinopsis setiap bab?”

Nama watak, malam atau siang dan lokasi. Ini perkara asas.

Namun penulis masih boleh senaraikan maklumat detail yang diperlukan bagi setiap bab.

Tiga perkara di atas tadi sebaiknya perlu ada dalam setiap scene dalam novel kita. Supaya watak dalam novel itu bergerak dan tidak statik pada satu lokasi dan satu tempoh masa saja sepanjang cerita.

Dengan melakukan sedemikian, proses untuk adaptasi novel tuan-tuan menjadi skrip drama ataupun filem menjadi lebih mudah.

“Lagi apa yang perlu ada dalam sinopsis setiap bab?”

Apabila mengembara ataupun mahu pulang ke kampung. Pastinya kita sudah tentukan dimana mahu berhenti rehat sebelum memulakan perjalanan lagi.


Di mana kita akan melalui tol? Di simpang mana kita perlu hati-hati kerana ada lembu, dan mungkin juga ada hantu melintasi?

Dalam menulis sinopsis setiap bab juga. Kita perlu tentukan pada bab berapa kita mahu hantar watak ke luar negara.

Pada bab berapa kita mahu watak makan di depan bakal mertua? Dan pada bab berapa watak itu akan dikejar harimau?

Aturkan pencetus konflik, permulaan konflik, perbincangan, twist, klimaks, penamat cerita dan sebagainya semasa menulis sinopsis.

Semua itu perlu ditentukan semasa menulis sinopsis setiap bab. Kita boleh aturkan bila pembaca akan ketawa, menangis, geram, dan sakit perut.

“Berapa lama masa diambil untuk menulis sinopsis setiap bab?”

Ini soalan yang subjektif jawapannya. Bergantung pada masa yang kita ada. Tetapi apa yang boleh saya kongsikan, seorang penulis bestseller mengambil masa dua minggu untuk berbincang dan menulis sinopsis dan jalan cerita sahaja.

Selepas puas hati barulah proses menulis dimulakan.

“Jadi apa yang saya perlu buat sekarang?”

Pilih kategori bakal pembaca yang kita mahu tulis dan mulakan menulis sinopsis setiap bab. Kemudian berikan pembaca kedua untuk baca dan komen sinopsis itu.

“Siapa pembaca kedua?”

“Kenapa perlu bagi dia baca?”

Kita sambung dalam perkongsian seterusnya akan datang.
Load disqus comments

0 comments