Mengapa Perlu Menulis Novel Secara Bersiri

Saya penulis baru, mengapa saya perlu menulis buku secara bersiri? Jika buku pertama dalam siri itu tidak laku, adakah saya perlu meneruskannya?

Ain Maisarah mempunyai banyak buku yang menceritakan tentang situasi di sekolah Sri Bangsar. Dalam masa yang sama beliau juga mempunyai siri-siri lain.

Adakah beliau menulis seorang diri? Tidak, beliau mempunyai lebih daripada seorang penulis bersama.

Jika Tuan Puan membuat semakan, setiap penulis bersama yang dibangunkan oleh pasukan Blink telah menerbitkan siri masing-masing. Setiap penulis membangunkan sebuah siri dan menghasilkan berberapa judul buku bagi setiap siri.

Lihat juga kepada Amanda Hocking, buku pertamanya terjual sebanyak 45 unit dalam masa dua minggu selepas dimuat naik untuk dijual dan dibaca di Kindle. Ia berlaku pada 2010.

www.freeimages.com

Sebulan selepas itu, beliau muat naik pula novel kedua dan ia terjual sebanyak 38 unit dalam masa satu hari. Pada Januari 2011, jualan karya beliau dalam bulan itu mencecah USD145,000.00

Sekarang cuba kita buat sedikit pembacaan, berapa banyak buku yang telah ditulis dan adakah beliau menulis seorang diri? Perhatikan juga, apakah fokus tema yang beliau pilih dalam semua karyanya?

Mari kita perhatikan pula kepada artis yang menerima bayaran royalti tertinggi di Malaysia seperti M. Nasir, Siti Nurhaliza dan Yuna. Mengapa karyawan yang saya senaraikan itu masih lagi berkarya walaupun nama mereka sudah berada di puncak dan juga menerima pendapatan yang lumayan?

 Pasti mereka mempunyai sebab yang tersendiri, namun persamaan yang ada pada mereka adalah terus berkarya walaupun sudah ada banyak karya dan sudah kaya.

Seterusnya, siapakah yang boleh menulis buku secara bersiri? Siapa saja boleh menulis buku bersiri sekiranya mereka tahu kaedah dan mahu melakukannya.
  1. Buat kajian berkenaan siri buku yang sudah ada di pasaran, rujuk amazon.com dan juga kedai buku di Malaysia. Bertanya kepada pekerja di kedai buku.
  2. Senaraikan apa kekuatan dan kelemahan mereka.
  3. Rancang siri buku kita.
  4. Rancang kaedah pemasaran buku.
  5. Mulakan menulis sehingga boleh dijual.
  6. Promosi.
  7. Ulang langkah satu sehingga tamat siri yang dirancang.
Seorang kawan saya yang mengusahakan tanaman rockmelon berkata dalam sebuah kebun 10% tanaman akan rosak dan itu adalah normal. Apa yang beliau lakukan ialah terus menanam dan menjaga tanaman yang masih elok sehingga mendapatkan hasil untuk dijual.

Sebagai penulis, apa yang kita perlu buat adalah menulis dan sentiasa perbaiki mutu penulisan. Mungkin sebahagian daripada karya awal kita tidak akan meletup dan best seller, namun mungkin buku yang ketiga, kesepuluh dan keempat puluh baru dapat rezeki bestseller. Maka, pembaca akan mencari buku-buku yang pernah dihasilkan sebelum ini. Insya-Allah.

#HajiDell, “Hanya tukang masak yang gembira dengan kerjanya akan memasak makanan yang sedap. Dia tidak memasak kerana duit, tetapi kerana dia suka memasak, kemudian orang sanggup menyerahkan duit untuk menikmati hidangannya.”
Load disqus comments

0 comments